Powered By Blogger

Saturday, November 7, 2009

Berita GEMBIRA :D

Syarat kereta 15 tahun masuk Puspakom ditarik balik

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menarik balik Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan yang mewajibkan kereta berusia 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) sebagai keperluan pembaharuan cukai jalan.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), semalam, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat dan selaras dengan konsep rakyat didahulukan.

Sejak dasar itu diumumkan, kerajaan menerima banyak aduan daripada orang ramai yang tidak bersetuju dengan langkah berkenaan yang dianggap membebankan golongan berpendapatan rendah.


Peraturan itu yang dianggar membabitkan sejuta kenderaan, adalah antara 18 langkah baru dalam kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP) yang diumumkan Miti pada 28 Oktober lalu, bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta menawarkan kenderaan lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan bersedia meneliti semula peraturan itu jika ia membebankan rakyat.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Pengangkutan menyediakan laporan terperinci berhubung bantahan pelbagai pihak terhadap dasar berkenaan.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak kerajaan mengkaji semula peraturan itu kerana ia membebankan golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli kereta lain atau membaik pulihnya jika kenderaan yang dibawa gagal melepasi pemeriksaan Puspakom.

Selain itu, Puspakom dibimbangi tidak mempunyai kemampuan membuat pemeriksaan sehingga menyebabkan pelanggan menunggu lama di pusat pemeriksaan apabila peraturan itu dilaksanakan.

Sumber:Bharianonline

No comments:

Post a Comment